tulisan ini adalah kesinambungan daripada entri yg telah aku post hari sebelumya... mari kita kongsi ya... semoga Allah memberkati setiap apa yg kita lakukan.. Terima kasih Ya Allah...
Diam sejenak. Tundukkan sedikit kepala dan letakkan tangan kanan di atas dada. Sambil menyebut …ya Allah…(bukan di dalam hati..sebut sehingga terdengar)…dan rasakan rasa cinta kita pada Allah SWT.
Ada rasa atau tidak? Diam lagi….ulangi sehingga benar-benar rasa samada ada rasa cinta atau tidak … dan kemudian mohonlah kepada Allah SWT seperti di bawah.
“ya Allah kurniakan rasa cinta kepadaMu ke dalam hatiku ya Allah. Ya Allah, tiada rasa cinta dalam hatiku ini ya Allah. Kurniakan ya Allah. Terima kasih ya Allah, terima kasih.”
Ulangi selalu latihan di atas untuk melihat sejauh mana cinta kita pada Allah SWT secara realiti. Ulangi juga untuk melihat sejauh mana cinta kita kepada Rasulullah SAW.
***
Kita sentiasa tahu bahawa kita perlu memiliki rasa cinta pada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Kita juga selalu berasa bahawa cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sudah mencukupi. Lalu kita berasa tidak perlu memeriksa rasa cinta itu dalam jiwa kita. Benarkah rasa itu ada? Sejauh mana rasa itu?
Jika belum, kita selalu mengambil sikap biarlah..tak mahu fikir.
Sesetengahnya juga berpendapat bahawa rasa cinta kepada Allah SWT itu hanya untuk mereka yang banyak ilmu agamanya. Orang-orang kebiasaan seperti kita ini yang kurang ilmu agama sukar untuk memiliki rasa cinta itu.
Sebenarnya semua itu alasan dan dakyah atau tipu helah pemikiran yang telah tertanam kuat dalam fikiran kita. Kita perlu hapuskan pemikiran seperti ini di dalam fikiran kita serta orang-orang sekeliling kita.
Cinta merupakan satu kuasa yang terhebat sehinggakan manusia sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Cinta memberikan semangat yang luar biasa kepada kita di dalam melakukan apa sahaja perkara.
Islam itu hebat namun jika dilihat daripada kehebatan penganutnya, islam itu seolah-olah mundur kerana kemunduran penganutnya. Mengapa? Kerana rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW dalam jiwa umat islam telah berjaya dipesong oleh musuh-musuh kita.
Kita lebih mudah jatuh cinta dengan duit, harta benda, pangkat, rupa dan hiburan yang melalaikan. Mudah jatuh cinta dengan maksiat dan kehinaan. Mengapa terlalu sukar untuk melakukan kebaikan berbanding melakukan keburukan? Mengapa lebih mudah jatuh cinta dengan hiburan, maksiat dan seumpamanya dan terlalu sukar untuk jatuh cinta kepada kebaikan?
Kerana kita tidak pernah atau jarang sekali memohon kepada Allah SWT untuk memiliki rasa cinta kepadaNya dan RasulNya. Sesiapa sahaja tanpa mengira ilmu, rupa, pangkat, harta dan sebagainya berhak memiliki rasa cinta kepada Allah SWT dan RasulNya. Tugas kita hanyalah memohon dan urusan pemberian rasa cinta itu adalah Hak Allah SWT.
Marilah kita cuba periksa dalam keadaan sedar samada benarkah kita benar-benar merasai rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW itu? Dengan latihan di atas, kita mampu memeriksa sejauh mana cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Berdoalah memohon kepada Allah SWT rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasululullah SAW:
“ya Allah, kurniakanlah aku rasa cinta kepadaMu dan kepada Rasulullah SAW ya Allah. Aku ingin benar-benar merasakan rasa cinta itu ya Allah. Agar aku mampu dan terdaya untuk sentiasa berada dekat denganMu ya Allah. Terima kasih Allah, terima kasih.“
***
Ayuh! Kita bergerak kembali di atas jalan yang lurus setelah kita dipesongkan kecintaan kita oleh musuh-musuh kita. Punca utama maksiat, keburukan dan kejahatan adalah kerana rasa cinta kita kepada Allah SWT dan Rasulullah tidak berada di puncaknya.
Kita didik jiwa kita dan jiwa anak-anak agar sentiasa sedarkan Allah SWT dan sentiasa memohon rasa cinta kepadaNya dan RasulNya. Cinta adalah anugerah Allah SWT. Cinta telah sedia diadakan oleh Allah SWT dan menunggu kita untuk memohonnya. Allah SWT lebih tahu keperluan kita lebih daripada kita sendiri.
Mohonlah…mohonlah…pasti kita akan memiliki rasa cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW yang sentiasa meningkat rasanya setiap hari. KOMUNIKASILAH dengan Allah SWT setiap saat agar kita sentiasa sedar akan Allah SWT. Komunikasi itu adalah pengaliran cinta. Tanpa komunikasi, cinta pasti tidak dapat mengalir ke dalam jiwa kita.
No comments:
Post a Comment