Orang bertanya En. Fuad Latif SEDAR itu bagaimana? dan ini jawapannya.... mari kita kongsi dan semoga kita semakin dekat dengan Allah swt...
Analogi mudahnya:
Ketika kita menonton tv bersama pasangan, kita tidak memikirkan pasangan di sebelah, tetapi kita SEDAR pasangan kita ada di sebelah. Ketika kita asyik menonton, kita masih sedar pasangan kita bersama-sama kita juga menonton.
Begitu juga perihalnya kesedaran akan Allah SWT. Ketika kita melakukan kerja, kita SEDAR Allah SWT berada sangat hampir dengan kita dan kita SEDAR Allah SWT sentiasa melihat diri kita, apa yang kita kerjakan dan apa yg kita fikirkan.
Ketika kita duduk, berdiri, berjalan, baring dan dalam semua keadaan, kita SEDAR Allah SWT berada sangat hampir dengan kita dan melihat kita.
Apa yang kita lihat, kita dengar, kita kata, kita fikir, yang terlintas di hati, semuanya diketahui Allah SWT.
Lalu ketika di dalam keadaan SEDAR, apakah kita sanggup melakukan maksiat, keburukan, kejahatan dan melanggar larangan Allah SWT?
Kesedaran ketika solat
Analogi mudahnya:
Ketika kita bersembang dengan sahabat, fikiran kita fokuskan kepada apa yang kita sembangkan. Kita akan mengingati perkara-perkara yang berkaitan dengan apa yang kita sembangkan. Kita SEDAR kita sedang bersembang dengan sahabat dan kita SEDAR siapa sahabat kita itu. Kita SEDAR ketika itu kita berada di mana. Kita menjadi asyik bersembang dan kadang-kadang berjam-jam lamanya.
Ketika kita berhubung samada melalui telefon atau berhadapan dengan orang yang kita sayang, kita bukan sahaja memikirkan apa yang kita sembangkan, kita juga memikirkan diri orang yang kita sayang itu. Kita SEDAR kita sedang bercakap dengan orang yang kita sayang. Kita MERASAKAN kasih, sayang dan rindu kita pada orang yang kita sayang itu.
Kita berasa orang yang kita sayang itu DEKAT sangat dengan kita jika kita bercakap melalui telefon. Kita asyik bersembang dengan orang yang kita kasih dan berasa masa bersembang berjam-jam seperti sekejap sahaja.
Begitulah juga halnya ketika bersolat. Seluruh fikiran, ingatan dan kesedaran kita adalah kepada Allah SWT. Apa yang kita ingatkan, kita arahkan kepada Allah SWT. Apa yang kita fikirkan, kita arahkan kepada Allah SWT. Kita SEDAR kita sedang berhubung dengan Allah SWT. Kita SEDAR kita sedang mendirikan solat. Kita SEDAR kita sedang berkomunikasi dengan Allah SWT.
Kita RASA sangat rindu pada Allah SWT. Kita RASA kasih, sayang dan cinta pada Allah SWT. Kita RASA rendah diri dan kehambaan kepada Allah SWT.
Semoga dengan analogi mudah ini kita dapat memahami apakah yang dikatakan kesedaran itu.
Milikilah KESEDARAN YANG TERTINGGI
No comments:
Post a Comment