Percaya dan yakinlah Allah SWT, Sifat dan zatNya serta yang tertinggi adalah perbuatan (Af’al) Allah SWT. Hidup akan sentiasa berjaya malah terus berjaya dan berjaya dan berjaya dan berjaya tanpa henti.
Iman yang paling rendah adalah iman ikut-ikutan. Tidak dinafikan ramai di antara orang islam zaman ini berada di tahap ini. Iman ikut-ikutan atau iman taqlid ini HANYA sekadar mempercayai Allah SWT itu Tuhan Yang Esa tetapi tidak mempercayai sifat dan perbuatan (Af ‘al) Allah SWT. Mereka yang berada di tahap keimanan seperti ini akan sentiasa resah dan gelisah dengan apa yang berlaku di dalam kehidupannya.
Mereka yang beriman dengan iman ikut-ikutan ini akan sentiasa resah dan gelisah jika apa yang diinginkan tidak tercapai dan lebih malangnya ada yang sanggup menyalahkan Allah SWT kerana tidak memperkenankan doa mereka. Malah sebenarnya mereka juga jarang berdoa kepada Allah SWT kerana sering merasakan apa yang meraka miliki adalah hasil daripada usaha kuat mereka.
Keluarkanlah diri kita daripada tahap iman seperti ini dan berhijrah ke tahap yang lebih tinggi.
Tahap kedua adalah iman ilmu di mana mereka yang yakin pada Allah SWT dan yakin dengan SIFAT atau ZAT Allah SWT. Mereka yakin SIFAT Allah SWT Yang Maha Memberikan Rezeki tetapi tidak yakin sepenuhnya Allah SWT Yang Memberikan Rezeki. Mereka percaya SIFAT Allah SWT Yang Maha menghidupkan dan mematikan segala makhluk tetapi tidak percaya Allah SWT yang menentukan kehidupan dan kematian mereka. Mereka yakin SIFAT Allah SWT Yang Maha memberikan kebahagiaan tetapi tidak yakin sepenuhnya Allah SWT yang memberikan kebahagiaan.
Mereka ini sering berkata-kata seperti ini:
“Saya yakin Allah SWT memberi rezeki kepada kita…tetapi…”
“Kereta aku kena langgarlah. Aku redha..tapi…”
“Sedihlah, permohonan aku gagal. Aku tahu semuanya kehendak Allah SWT….tetapi…”
“Aku bukan tak percaya Allah tu Maha Pengampun, tapi…”
Dan serba serbi tapi yang biasa diberikan. Kata-kata “Kita redha…tetapi…” menunjukkan sebenarnya kita tidak redha. Jiwa kita masih lagi terbelenggu dengan masalah yang datang. Redha yang dikatakan hanyalah keluar daripada mulut yang berasal daripada fikiran yang menafsir ilmu yang dimiliki. Namun jiwa masih memberontak menentang apa yang dikatakan fikiran.
Kerana itu kita sering terjumpa mereka yang banyak ilmu agama tetapi masih mempunyai sifat amarah, dengki, pentingkan diri dan sebagainya. Iman ilmu hanyalah iman luaran yang tidak terserap ke dalam jiwa. Mereka solat tetapi masih tidak tenang kerana mereka melakukannya sekadar solat itu perkara yang wajib. Mereka berpuasa tetapi sekadar letih dan dahaga kerana tahu puasa itu perkara wajib.
Sekadar memiliki ilmu agama sehingga peringkat pengajian yang tinggi tidak menjanjikan seseorang memiliki iman yang tinggi.
Inilah iman ilmu yang mana kita juga seharusnya keluar dan berhijrah ke tahap yang lebih tinggi.
Iman Ayyan merupakan iman yang bukan sekadar yakin Allah SWT itu Tuhan Yang Esa dan yakin dengan sifat dan zat Allah SWT tetapi juga yakin yang sebenar-benarnya akan perbuatan (Af’al) Allah SWT.
Kita mempercayai Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang lalu kita yakin dan berusaha untuk memilikinya. Kita yakin Allah SWT Maha Pemurah dengan rezeki dan pelbagai kenikmatan, lalu kita memohon untuk mendapatkan rezeki dan redha dengan ketentuan rezeki yang Allah SWT tetapkan. Kita yakin bahawa segala apa yang berlaku di dalam kehidupan kita ini adalah ketentuan Allah SWT dan setiap apa yang Allah SWT tentukan adalah yang terbaik untuk kita.
Mereka yang berada di tahap iman seperti ini merupakan orang yang berjaya dunia dan akhirat. Mereka akan sentiasa rasa bahagia kerana mereka yakin yang membahagiakan mereka adalah perbuatan Allah SWT (izin Allah SWT) bukan selain daripada Allah SWT. Mereka kaya kerana mereka yakin Allah SWT yang memberikan rezeki. Mereka sihat kerana mereka yakin Allah SWT yang menyembuhkan segala penyakit. Mereka berani kerana mereka yakin Allah SWT sentiasa melindungi mereka. Mereka berjaya kerana mereka yakin Allah SWT sentiasa memakbulkan segala permohonan mereka.
Maka berusahalah untuk kita berada di dalam golongan yang memiliki iman yang tertinggi. Kita juga mampu untuk hidup dalam ketenangan di bawah lindungan Allah SWT. Tahap iman ini tidak susah untuk dimiliki. Ia mudah dan teramat mudah untuk kita miliki. Bangunkan kesedaran kita agar kita sentiasa sedar setiap apa yang berlaku adalah di atas kehendak Allah SWT dan pastinya ia terbaik buat diri kita.
Binalah keyakinan kesedaran ini dengan sentiasa merasakan Allah SWT itu dekat dengan kita. Menyedari dan merasai Allah SWT sentiasa melindungi dan menyayangi diri kita. Mendahulukan Allah SWT dalam apa jua keadaan atau dalam semua keadaan.
Di kala jiwa kita berselisih dengan fikiran, kembalilah kepada Allah SWT dengan berkomunikasi dengan Allah SWT. Tukarkan segala mind-chat kita kepada berkomunikasi dengan Allah SWT. Sedar dan rasai dengan sebenar-benarnya kepentingan Allah SWT di dalam kehidupan kita ini. Sesungguhnya Allah SWT itu Tuhan dan kepadaNya kita berserah dan bergantung harap.
*Semoga segala apa yg kita lakukan hanya utk Allah... dan medapat keredhaanNya.. Amin...
No comments:
Post a Comment