12 July 2009

Hukum Memotong Kuku dan Rambut bagi Wanita Haid

Assalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh...

Ketika aku sibuk menerangkan sedikit sebanyak mengenai membaca Al-Quran ketika haid kepada Moon dan adik aku.. tiba2 Moon bertanya.. bolehkah kita memotong kuku ketika uzur... hmmm... susah jugak aku mau jawab kalau aku sendiri pun nda pasti jawapannya.. jadi.. aku pun carilah sumber yang mengatakan dan mengesahkan boleh atau tidaknya hal ini... rupa2nya persoalan ini bukan sahaja menjadi teka-teki kepada Moon tetapi jugak kebanyakan pihak wanita di luar sana.. dan soalan yang sama juga telah diutarakan kepada Ustaz Hj. Zaharuddin.. dan ini lah soalan dan jawapannya.. semoga ada manfaatnya..

Soalan:

Dari apa yang saya dengar, ada yang mengatakan bahawa seorang perempuan yang sedang haid tidak boleh memotong rambut dan potong kuku. Mengapa demikian? Apakah ada akibat buruknya? Apakah memang ada dalilnya?

Jawapan:

Disebutkan di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’ (1/60), menurut Imam al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, bahawa tidak seharusnya seseorang yang berjunub memotong kuku atau mencukur bulu dan rambutnya kerana semua tadi akan dikembalikan di hari akhirat nanti dalam keadaan junub (tidak bersih).

Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tiada didapati sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik akal semata-mata tadi. Demikian menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif’at Fawzi, professor Shari’ah di Univ. Kaherah. Soalan ini pernah ditujukan kepada Imam Ibn Taimiyyah di dalam kitabnya Ghiza’ al-albab (1/382) maka beliau menjawab:

“Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi s.a.w. bersabda: ‘Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) sama ada hidup ataupun mati’, malah Nabi memberitahu: ‘buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam)’ maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi.

Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi)…justeru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya.”

Tiada sebarang halangan untuk memotong kuku secara junub. Pandangan ini juga datang dari tokoh ulama Tabien iaitu Ata’ bin Abi Rabah. ‘Ata disebut pernah menyatakan seseorang boleh melakukannya dalam keadaan junub, malah dalam keadaan junub dan tidak berwuduk’ (Riwayat al-Bukhari).

Sebagai maklumat tambahan, kemestian menanam rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya juga tiada sebarang dalil kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam.

Wallahua’lam.

Sumber: Majalah i (April 2006), bahagian soal jawab agama oleh Ustaz Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin