(Kisah benar yang mencuit kalbu, lucu dan terharu!)
Seorang jejaka biasa, tidak lawa dan tidak berharta.
Dia terpikat gadis di sebelah rumahnya, pada akhlak, agama dan tidak kurang pula rupa parasnya.
Dia ingin berkenalan, tetapi segan.
Ingin bertegur sapa, tetapi tidak tahu bagaimana.
Akhirnya dia memberanikan diri, merisik ahli keluarga serta tuan punya diri.
Tanpa diduga hasrat hatinya bersahut, pinangannya disambut.
Suatu hari dia mengajak tunangnya keluar makan di sebuah restoran yang cantik.
Mereka memilih tempat duduk yang agak tersorok.
Oleh kerana itulah kali pertama keluar berduaan dengan perempuan, dia menggelabah tak keruan. Tiada sepatah kata mampu diucapkan.
Begitu juga dengan si gadis. Tetapi dia lebih tenang dan dapat mengawal perasaan.
Diperhatinya si jejaka yang keresahan. Pun tidak tahu bagaimana nak mulakan bicara. Pabila mata bertentang, hanya senyuman terukir di bibir.
Tiba-tiba jejaka memanggil pelayan: “Saudara, bawakan sedikit garam untuk kopi saya!”
Si gadis memandang penuh keheranan. Seumur hidupnya tidak pernah mendengar air kopi dibubuh garam?
Dia mengambil garam yang dibawa oleh pelayan dan meletakkan satu camca ke dalam cawan kopi dan meminumnya.
Gadis bertanya kenapa minum kopi dengan garam?
Dia menceritakan bahawa dia dibesarkan di sebuah kampong yang terletak di tepi pantai. Dia sangat suka bermain di pantai dan mandi manda di dalam laut yang masin airnya.
Air kopi yang masin menyingkap kenangan manis zaman kanak-kanaknya serta kedua ibu bapanya yang banyak berjasa, mendidik dan membesarnyakan.
Dan dia meneruskan bicara dengan suara yang perlahan, sedang air mata bergenang dibirai matanya. “Kini mereka berdua telah berpindah ke alam baqa’. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas roh mereka berdua”.
Bicara tulus yang terbit dari hati yang mulus benar-benar menyentuh hati si gadis. Tanpa disedari airmatanya turut berjurai menghiasi pipi. Jauh di lubuk hati dia bersyukur pada Ilhali yang telah mempertemukan dia dengan jejaka yang penyayang, setia dan berbakti kepada ibu dan bapa. Dia bersyukur kerana Allah telah memakbulkan apa yang dipintanya di dalam doanya selama ini.
Itulah kali pertama dan terakhir mereka keluar bersama sebelum diijab qabulkan sebagai suami isteri yang sah.
Hiduplah mereka berdua aman damai dalam sebuah rumahtangga yang bahagia. Setiap kali dia membancuh kopi untuk suaminya, diletakkannya secamca garam kerana itu yang digemari suaminya.
Selama 40 tahun melayari bahtera rumahtangga, mereka telah dikurniakan cahaya mata yang diasuh dengan sempurna. Anak pertama dan kedua menjadi pakar bedah, anak ketiga seorang jurutera, anak keempat seorang peguam, anak kelima pakar sakit puan dan anak keenam belum tamat pengajian.
Kini, bapa yang penyayang telah pergi menyambut seruan Ilahi.
Beberapa hari selepas pemergiannya ibu menjumpai sepucuk surat yang ditulis untuknya. Surat itu berbunyi:
Wahai isteriku tersayang, ibu kepada anak-anakku tercinta, maafkan aku. Sesungguhnya aku telah membohongimu satu kali sepanjang hidupku. Pastinya kau masih ingat saat kita keluar bersama di sebuah restoran. Aku menggigil, perasaanku bercelaru. Aku telah meminta pelayan membawakan garam untuk air kopiku. Sebenar aku hendak meminta gula, tapi tersebut garam. Aku malu untuk mengakui kesilapanku. Lalu aku terus minum air kopi yang dicampur garam.
Aku ingin berterus terang denganmu selepas itu. Namun aku tidak sanggup kerana bimbang kau akan menuduh aku seorang yang pandai menipu. Maka aku berjanji kepada diriku tidak akan membohongimu lagi sepanjang hidupku. Cukuplah sekali itu.
Wahai isteriku, kesayanganku. Sesungguhnya aku tidak suka kopi yang dicampur garam. Rasanya pelik. Tapi itulah yang aku teguk sepanjang hidupku bersamamu selama 40 tahun. Ia tidak menjadi masalah kepadaku. Cinta dan kasih sayangmu menghapus segala rasa yang tidak enak kopi yang bergaram. Aku tetap bahagia. Sekiranya ditakdirkan Allah aku bisa hidup sekali lagi di dunia ini, pasti aku akan memilih hidup bersamamu meskipun aku terpaksa meminum kopi dengan garam lagi. Tetapi apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal. Aku berharap Dia akan menghimpunkan kita kembali di sisiNya di dalam syurga yang abadi…
Air matanya mengalir deras membasahi sekeping kertas yang terhampar diribaannya. Dia menangis sepuas-puasnya bagaikan kanak-kanak yang kematian ibu.
Suatu hari salah seorang anaknya bertanya: Mama apa rasa minum kopi dengan garam?
Dengan linangan air mata dia menjawab: “Itulah kenangan hidupku yang paling berharga. Ia lebih manis daripada gula!”
*Sedihnya.... semoga kita ditemukan dgn lelaki yg baik dan penyayang.. Amin
No comments:
Post a Comment