MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subahanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Maa-idah ayat 39 tafsirnya :
"Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya : kerana Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi".
Taubat adalah merupakan satu proses pembersihan diri dari segala bentuk dosa dan maksiat, dan juga merupakan pendorong kea rah melakukan sesuatu yang lebih baik dan sempurna, sebagai jalan keluar bagi orang yang kehilangan arah setelah tersesat kerana bergelomang dengan dosa dan maksiat dan juga sebagai jalan yang memberikannya harapan, mengembalikan kepercayaan kepada diri sendiri betapa kasih, rahmat dan ampunan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya itu amat luas dan tidak terbatas.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az-Zummar ayat 53 tafsirnya :
"Katakanlah wahai Muhammad : Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri dengan perbuatan-perbuatan maksiat, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dia-lah juga Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi".
Cuba kita bayangkan betapa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seorang hamba yang dimuliakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan dosa Baginda yang terdahulu dan yang akan datang dijamin mendapat keampunan Allah subahanahu Wata'ala lagi bertaubat setiap hari seratus kali, betapa pula kita hamba Allah yang biasa ini.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
"Dari Ibnu Omar ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu alaihi Wasallam : Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah kerana sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari seratus kali".(Riwayat Al-Imam Muslim)
Setiap orang yang telah sedar dan insaf akan kesalahan-kesalahan yang dilakukan hendaklah menyegerakan taubatnya tanpa bertangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan tiba. Jangan tunggu sehingga tiba waktu penyesalan sudah tidak berguna lagi.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda maksudnya :
"Dari Ibnu Omar: Dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Subahanahu Wata'ala tetap menerima taubat seseorang hamba-Nya, selama nyawanya belum sampai di kerongkongnya".(Riwayat Al-Imam At-Tarmidzi).
Oleh itu janganlah di tunda-tunda niat yang baik itu, apatah lagi hukum bertaubat itu wajib. Ketahuilah bahawasanya Allah Subahanahu Wata'ala itu Maha Pengampun dan Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya. Firman allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Tahriim ayat 8 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada allah dengan 'Taubat Nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai".
Perlulah diingat bahawa bertaubat itu bukan hanya sekadar mengucapkan kalimah istighfar sahaja, tetapi hendaklah di sertai dengan penyesalan, dengan niat dan azam tidak akan mengulangi perkara dosa yang pernah dilakukan. Para ulama telah menjelaskan bahawa perbuatan bertaubat itu belum dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat-syarat berikut :
Pertama : Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhan-Nya, hendaklah seseorang itu meninggalkan dosa dan maksiat dengan perbuatannya itu dan berazam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.
Kedua : Andai kata hak-hak bersangkut-paut dengan hak anak adam, maka hendaklah meninggalkan perbuatan dosa tersebut, menyesalinya, berazam tidak melakukannya lagi serta hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat seseorang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang yang diumpatnya itu.
Di samping itu, para ulama juga ada menjelaskan bahawa antara lain syarat taubat itu ialah dorongan bertaubat hendaklah semata-mata kerana Allah Subahanahu Wata'ala atau pun semata-mata kerana kesedaran kita, bahawa maksiat itu merupakan sesuatu yang keji pada pandangan syarak, atau pun semata-mata takut kepada azab Allah di Hari Kiamat dan tamak kepada balasan Syurga, bukan bertaubat kerana sesuatu dorongan yang bukan kerana keikhlasan. Umpamanya kerana takut kemudaratan yang akan menimpa terhadap dirinya, kehormatannya atau hartanya jika tidak bertaubat, maka yang demikian itu tidak dinamakan taubat. Sebagai contoh, menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras, merokok dan sebagainya disebabkan takut memberhayakan kesihatan tubuh badan, yang demikian itu bukan dinamakan sebagai taubat.
Begitu juga, menyesali dan bertaubat daripada memakan harta haram dengan cara rasuah, menipu, mencuri, pecah amanah dan sebagainya kerana takut kehilangan pekerjaan, kehilangan kedudukan pangkat, maka ia juga tidak dinamakan sebagai taubat. Oleh yang demikian, taubat itu mestilah bertitik tolak daripada keinsafan untuk kembali kepada Allah Subahanahu Wata'ala semata-mata, bukan kerana yang lain-lain.
Terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan dalam membantu seseorang untuk membersihkan jiwanya daripada sebarang kotoran dosa. Langkah yang di maksudkan ialah mengikut ajaran Al-Qur'an dan As-Sunnah. Antaranya ialah, menjauhkan diri daripada maksiat, berkawan dengan kawan yang baik-baik, melawan pujukan syaitan dan hawa nafsu, sentiasa menyesal terhadap dosa yang lalu, memperbanyakkan istigafar, melakukan amal salih, berdoa dan sentiasa muhasabah diri.
Taubat merupakan syariat yang amat penting dan wajib dilaksanakan pada bila-bila masa, bukan sahaja kepada mereka yang terang berbuat kesalahan dan dosa-dosa tetapi juga kepada mereka yang tidak menyedari, apakah ia berbuat salah ataupun tidak. Kerana sifat manusia tidak luput dari berbuat kesalahan, taubat sahajalah jalan untuk membersihkan diri daripada dosa dan sebagai landasan menuju segala macam kebaikan, baik untuk didunia mahupun untuk di akhirat.
Dari Surah An-Nisaa', ayat 18 tafsirnya :
"Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia : Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini. Sedang taubatnya itu sudah terlambat dan demikian juga halnya orang-orang yang mati sedang mereka kafir. Orang-orang yang demikian Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya".
No comments:
Post a Comment